Lawatan Penanda Aras di UUM dan Lawatan Industri di Pulau Pinang
Seramai 25 orang pelajar dari Persatuan Pelajar Mekanikal (PPM) beserta 6 orang pensyarah pengiring yang juga merupakan penyelaras JK HEPA fakulti telah mengikuti rombongan selama 3 hari 2 malam ke UUM Sintok Kedah dan 2 industri di Pulau Pinang. Objektif utama delegasi yang diketuai sendiri oleh Timbalan Dekan HEPA Fakulti, PM Ts Dr Mohd Rasidi Ibrahim ini adalah bertujuan bagi melakukan kunjungan penanda aras ke Jabatan HEPA dan persatuan pelajar di UUM serta memberi pendedahan industri khususnya berkaitan ilmu keusahawanan teknopreneur kepada para pelajar.
Hari pertama 29 Mei 2024 dimulakan dengan lawatan ke UUM bagi melihat sendiri pengurusan HEPA di jabatan berkenaan. Para pelajar pula mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan pelajar UUM untuk melihat organisasi pengurusan mereka. Hasil rumusan perbincangan menunjukkan struktur kepimpinan HEPA di UUM ketara berbeza dengan UTHM dengan pemusatan urusan diletakkan di bawah satu pusat sehenti yang mengumpulkan kesemua PTJ yang berurusan dengan pelajar. Maka, peranan PAK dijumudkan dan TD HEPA di fakulti bertindak sebagai pemudahcara sahaja. Didapati terdapat beberapa pendekatan yang sesuai diaplikasikan dengan melihat struktur pengurusan di bawah cabang TNC HEPA.
Hari kedua 30 Mei 2024 pula berlangsung lawatan industri ke syarikat CG Global Prafastex Manufacturing Sdn Bhd, yang merupakan pembuat barangan elektronik dan pempasang PCB (Printed Circuit Board). Selesai penerangan di bahagian operasi, Pengarah Urusannya, Puan Siti Padillah bt Abd Wahab menyampaikan perkongsian kepada pelajar berkenaan keusahawanan teknopreneur bermula dari bagaimana beliau memulakan syarikat pemulanya. Kesemua pelajar menunjukkan minat dan semangat yang tinggi semasa sesi soal jawab diadakan.
Hari ketiga 3 Mei 2024 disambung dengan lawatan ke syarikat HnB Feeding Sdn Bhd, yang mengkhususkan kepada rekabentuk dan penghasilan produk Vibrator Bowl Feeder & Linear Feeder. Di sini para pelajar didedahkan dengan kemahiran rekabentuk kejuruteraan bagi memenuhi standard dan piawaian yang ditetapkan oleh pelanggan. Pengurusnya, Mr Leong berharap jalinan kerjasama ini dapat diteruskan dengan menghantar lebih ramai lagi pelajar latihan industri ke syarikat tersebut.