MESYUARAT AGUNG TAHUNAN (AGM) KELAB AERONAUTIK SESI 2023/2024
Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kelab Aeronautik bagi sesi 2023/2024 telah diadakan pada 13 November 2024, bertempat di Dewan Kuliah 1 (DK1), Perpustakaan Tunku Tun Aminah. Program ini merupakan program tahunan kelab yang bertujuan untuk membincangkan pencapaian kelab sepanjang sesi sebelumnya, laporan kewangan, dan perancangan masa hadapan, di samping berfungsi sebagai platform suai kenal antara pelajar tahun pertama program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Aeronautik (Penerbangan Profesional) dengan pelajar kanan program berikut. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk melaksanakan acara penyerahan kuasa Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Kelab Aeronautik UTHM, di mana tanggungjawab kepimpinan secara rasmi dipindahkan daripada AMT sesi 2023/2024 kepada AMT sesi 2024/2025, sebagai langkah memastikan kelangsungan kepimpinan dan kesinambungan visi kelab.
Program ini telah disertai oleh kesemua ahli Kelab Aeronautik UTHM dan turut disertai oleh pensyarah penasihat Ir. Dr. Ahmad Hamdan Bin Ariffin. Dalam mesyuarat tersebut, AMT sesi 2023/2024 telah membentangkan laporan kewangan tahunan kelab, yang memberikan gambaran menyeluruh tentang pendapatan dan perbelanjaan kelab sepanjang tahun tersebut. Seterusnya, AMT baharu sesi 2024/2025 turut membentangkan rancangan program yang akan dilaksanakan pada masa hadapan, bertujuan untuk meningkatkan penglibatan ahli dan memberi manfaat kepada semua. Program ini telah berlangsung dengan lancar dan mencapai objektifnya sebagai ruang diskusi, pelaporan, dan peralihan kepimpinan. AGM ini diharapkan dapat terus memacu Kelab Aeronautik UTHM untuk memainkan peranan aktif dalam membangun kemahiran teknikal dan kepimpinan ahlinya di samping menyokong matlamat akademik universiti.
UCAPANPENASIHATKELABDANPRESIDENKELAB
Penasihat Kelab, Ir Dr Ahmad Hamdan dan Presiden Kelab bagi sesi 2023/2024, Abdul Malek Akalil Bin Malek Razak memberikan ucapan dan amanat. Ir. Dr. Ahmad Hamdan mengalu-alukan kehadiran pelajar tahun pertama ke dalam Kelab Aeronautik UTHM dan menekankan kepentingan kerjasama serta komitmen semua ahli dalam memastikan kelab terus maju. Sementara itu, Abdul Malek Akalil Bin Malek Razak mengimbas kembali pengalaman beliau sebagai Presiden sepanjang sesi 2023/2024, menyampaikan penghargaan kepada semua yang telah menyokong kelab, dan menggalakkan pelajar baharu untuk aktif menyertai pelbagai aktiviti kelab aeronautik.