Skip to main content

PROGRAM LAWATAN PENDEDAHAN INDUSTRI KE
PEJABAT NATIONAL INSTITUTE OF
OCCUPATIONAL SAFETY AND HEALTH (NIOSH)
WILAYAH SELATAN

Program Lawatan Pendedahan Industri ke Pejabat NIOSH Wilayah Selatan telah berlangsung dengan jayanya pada 19 Jun 2025 dan berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan. Sepanjang program ini, para pelajar mendapat pendedahan secara langsung mengenai peranan dan fungsi organisasi NIOSH dalam memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja terpelihara selaras dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994. Seramai 30 orang pelajar FKMP telah menyertai program ini dengan diiringi oleh tiga orang pensyarah iaitu Ir. Dr. Sri Yulis binti Md Amin, Dr Fazimah binti Mat Noor dan Ts. Dr. Muhammad Faisal bin Mahmod bertujuan melihat fasiliti secara dekat selain mengenalpasti kursus kompetensi anjuran NIOSH yang bersesuian kepada pelajar sebagai nilai tambah sebelum bergraduan.

Rombongan ini disambut oleh En Ismail Abdul Rahman (Pemangku Pengurus Kanan Pejabat NIOSH Negeri Johor, Puan Nooreirza Ibrahim dan Puan Dayang Suriawati selaku Pegawai Bahagian Korporat NIOSH. Program ini memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan halatuju kerjaya melibatkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Program telah dimulakan dengan ucapan aluan dan pengenalan NIOSH diikuti penerangan terperinci berkaitan kursus anjuran NIOSH seperti ‘Safety & Health Officer (SHO)’, ‘OSH Coordinator’, ‘Chemical Health Risk Assessment (CHRA)’, Industrial Hygiene Technician (IHT)’, ‘Oil & Gas Safety Passport (OGSP)’, ‘Authorized Entrant & Standby Person (AESP)’,’Authorized Gas Tester & Entry Supervisor’, ’Working Safely at Height (WAH)’ dan banyak lagi. Para peserta diberi penerangan mendalam tentang struktur organisasi, bidang tugas serta pelaksanaan program latihan dan pemantauan keselamatan oleh NIOSH terhadap pelbagai sektor industri di Malaysia. Pihak NIOSH turut membincangkan beberapa kes sebenar berkaitan kemalangan di tempat kerja, termasuk punca kejadian dan tindakan pembetulan, yang sangat membantu pelajar memahami kepentingan pengurusan risiko dan kepatuhan terhadap prosedur keselamatan.

Selain itu, peserta juga diberi peluang melawat kawasan fasiliti tertentu di pejabat NIOSH dan diperkenalkan kepada peralatan serta sistem keselamatan yang digunakan dalam proses latihan dan simulasi. Ini termasuk demonstrasi amalan penggunaan alat pelindung diri (PPE), peranan audit keselamatan, serta teknik mengenal pasti bahaya dan menilai risiko (HIRARC). Sesi soal jawab (Q&A) yang dijalankan pada sebelah petang memperlihatkan penglibatan aktif daripada pelajar, di mana pelbagai soalan berkaitan laluan kerjaya dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, peranan jurutera dalam memantau keselamatan di industri, serta peluang latihan industri di bawah NIOSH telah dibincangkan. Ini menunjukkan peningkatan minat serta kefahaman pelajar terhadap topik yang diketengahkan.

Secara keseluruhan, program ini telah berjaya meningkatkan tahap kesedaran pelajar terhadap pentingnya aspek keselamatan di tempat kerja dan bagaimana pengetahuan dalam bidang kejuruteraan boleh diaplikasikan untuk menyumbang kepada persekitaran kerja yang selamat dan sihat. Program ini juga memberi nilai tambah kepada pelajar dalam aspek kemahiran insaniah, terutamanya komunikasi profesional dan kerja berpasukan sepanjang aktiviti berlangsung